2023 Arkib Farm Visit Bhg. 2 (Bali, Indonesia)

Lawatan Ladang Arkib 2023 Bhg. 2 (Bali, Indonesia)

Perjalanan biji kopi dari benih ceri hingga ke cawan penggemar kopi pasti sudah dikenali ramai. Dari tahap memetik ceri, pengangkutan, pemprosesan, penerusan, pengimportan, perjalanan ke tangan pemanggang kopi, barista, dan akhirnya kepada tangan anda. Begitu banyak tangan yang terlibat dalam proses ini, berlalu begitu sahaja, tanpa disedari oleh kebanyakan penikmat kopi.

Kunjungan kami yang buat pertama kali ke kebun kopi, membuka mata kami kepada proses yang harus dilalui untuk menikmati cawan kopi. Walhal kami sangat kenal dengan cerita-cerita yang dikongsi dalam video YouTube, media sosial dan laman web, kali ini berbeza; pengalaman ini sedang berlaku di dunia nyata dan bukan alam maya.

Kami disambut dengan penuh kemesraan oleh Wana pada hari itu, walaupun mungkin sedikit mengejutkan bagi pekerja lain yang tidak menerima kehadiran kami berempat. Sementara mereka meneruskan tugas-tugas mereka, kami melaksanakan kerja yang mereka lakukan. Bagi kami, ini adalah pengalaman pertama kami melihatnya secara langsung. Kami sempat berinteraksi dengan para pekerja, mendengarkan kisah-kisah mereka yang tinggal di Kintamani ini. Kami menyedari tiada beza mereka dan kami sebenarnya, hanya sekadar jasad yang ingin berjaya menjayakan sesuatu untuk kebaikan orang lain sambil mencari kelangsungan hidup.

Satu aspek yang menarik tentang kunjungan ini ialah melihat aliran pergerakan itu. Dari ceri yang dihantar ke pusat pemprosesan, melalui pelbagai proses (depulp, pencucian, pengeringan), proses sorting , pengemasan, hingga penyimpanan. Walaupun kami terlepas musim memetik ceri, pengalaman seperti ini sangat berharga bagi kami yang baru pertama kali mengunjungi ladang kopi.

Tidak kurang menariknya ialah kebanyakan pekerja di ladang kopi adalah wanita, atau yang biasa dipanggil 'ibu-ibu' di Indonesia. Kelihatan mereka juga terlibat dengan segala aspek menjadikan ceri itu kepada biji kopi mentah, khususnya sorting . Masa bekerja mereka sudah tentu terluang diisi bercerita itu ini.

Bagi diri yang menggemar dan menghargai alam semula jadi, kawasan gunung beriklim sejuk ini sudah menjadi sebahagian daripada diri. Walaupun perbezaan nuansa dan pemandangan antara Kintamani dan tanah air kita di Malaysia mungkin ada, mengadaptasi dengan muka bumi ini tidaklah sukar. Terasa iri hati juga ada dengan kehidupan di gunung; begitu damai dan tenang.

Sejujurnya, pesan yang ingin kami sampaikan melalui tulisan ini adalah rasa penghargaan yang diperbaharui dan mendalam terhadap specialty coffee dan agrikultur secara keseluruhan. Banyak penikmat kopi hanya melihat kopi sebagai produk yang mudah didapati di pasaran atau disajikan di kafe-kafe aesthetic . Namun, di Arkib, kami merasa bertanggungjawab sebagai pemanggang kopi khusus untuk menyumbang kepada kelangsungan kebun-kebun ini, terutamanya bagi individu-individu yang teras dalam kejayaannya.

*nota kaki – kami amat menghargai pengalaman yang telah disediakan oleh Helmi dari Arkib, Wana serta seluruh pasukan Curtina Specialty Coffee, dan Arca Coffee

Kembali ke blog

Tinggalkan komen