Syurga & Bumi Bhg. 1

Syurga & Bumi Bhg. 1

Semuanya bermula kira-kira 4 tahun lepas, pengalaman pertama yang membawa saya ke destinasi yang seterusnya. Di atas meja uji rasa terdapat satu kopi yang saya sangka adalah kopi Ethiopia. Bau yang wangi serta rasa yang lazat lembut hinggap di lidah. Tetapi siapa sangka kopi sebegitu hebat ini datang dari kawasan kejiranan,kepulauan Sulawesi,Indonesia. Lokasinya tidak begitu jauh kira-kira 4 jam penerbangan dari Kuala Lumpur. Kopi Toraja Toarco ! kali pertama saya bertemu di meja uji rasa. Pada tahun ini saya diberi peluang untuk melawat kawasan ladang kopi PT. Toarco Jaya,Toraja. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan, dari meja uji rasa akhirnya saya sampai juga ke tempat asal usul kopi ini.

Ladang kopi Toarco terletak berhampiran pekan Rantepao. Perjalanan dari ibu kota kepulaun Sulawesi,Makassar kami menaiki bus yang memakan masa selama 9 jam. Sebaik sahaja tiba, kami di jemput oleh pemandu (pak supir) yang menemani kami untuk lawatan kami kali ini.

Gambar 1. Suasana pekan Rantepao,Toraja.

Adat Melayu, kalau bertandang ke tempat orang minta izin terlebih dahulu. Sebelum meneruskan perjalan ke ladang kopi Toarco, kami singgah sebentar di pejabat urusan Toarco Jaya yang terletak Palopo, Rantepao. Tujuan kami adalah untuk meminta kebenaran melawat ladang kopi Toarco dan juga tanda hormat sebagai pengunjung. Kunjungan kami disambut mesra oleh pegawai bertugas Pak Ismail. Orangnya peramah dan baik hati, beliau juga gembira menerima pelawat dari negara jiran. 

Gambar 2. Ibu Pejabat PT. Toarco Jaya,Palopo,Bolu,Rantepao

 Gambar 3. Kenangan bersama Pak Ismail, Pegawai Bertugas

Setelah mendapat kebenaran melawat, kami mula bergerak ke kawasan ladang kopi dan perjalanan mengambil masa kira-kira 1 jam. Mungkin lebih dari itu kerana saya tertidur akibat keletihan.

Pertanian dan hasil sumber alam semulajadi merupakan sumber ekonomi mereka. Sepanjang perjalanan kami dapat melihat, sawah padi , pokok kopi, pokok koko, tanaman sayur-sayuran dan juga kolam ikan. Subur sekali tanah yang tuhan kurniakan pada penduduk tempatan.

 Gambar 4. Hijau mata memandang lopak sawah padi .

 Gambar 5. Sawah padi di kawasan lereng pergunungan Toraja.

Ladang kopi Toraja terletak jauh di kawasan pergunungan, perkataan pertama saya sebaik sahaja melepasi pintu pagar ladang “bagaikan singgah ke Syurga di Bumi”. Dijemput dengan pohon yang rendang, jalan masuk yang panjang hilang segala penat perjalanan. Artikel berikutnya kita akan imbas kembali pengalaman di ladang kopi Toarco Jaya. Bersambung………

 Gambar 6. Redup jalan masuk ke Syurga kopi Toraja PT. Toarco Jaya

Back to blog

Leave a comment