Penghasil Kopi
Kopi sering kali dinilai melalui apa yang terhidang di dalam cawan. Namun, di sebalik setiap tegukan, tersimpan sebuah perjalanan yang jauh lebih panjang. Bermula daripada tanah tempat pohon tumbuh, tangan yang memetik buahnya, hinggalah kepada penelitian dalam setiap peringkat pemprosesan. Bagi Tuang Coffee, kopi bukan sekadar minuman pahit atau hasil dagangan semata-mata. Ia merupakan hasil alam yang mempunyai pelbagai kemungkinan untuk diterokai. Berteraskan rasa ingin tahu dan kesungguhan untuk terus belajar, mereka meneliti setiap unsur yang membentuk karakter kopi, daripada varieti dan keadaan tanah hinggalah kepada kaedah fermentasi. Melalui pendekatan ini, Tuang Coffee berusaha memperlihatkan kopi sebagaimana sifat asalnya, iaitu sejenis buah yang menyimpan kerencaman rasa dan keistimewaan tersendiri.
Perjalanan Tuang Coffee bermula di wilayah Manggarai yang subur di Flores, Indonesia. Di sini, mereka menjalinkan kerjasama erat bersama para petani tempatan bagi menghasilkan kopi yang bermutu tinggi. Melalui kerjasama ini, Tuang Coffee menyediakan kemudahan serta prasarana pemprosesan yang diperlukan agar para petani tidak perlu menanggung beban kos tambahan. Usaha tersebut membuka peluang kepada petani untuk meningkatkan nilai hasil tuaian mereka. Kopi yang dahulunya sering dianggap sebagai hasil pertanian biasa dengan rasa pahit kini diberi perhatian melalui pemprosesan yang lebih teliti sehingga menghasilkan kopi istimewa dengan karakter tersendiri. Bersama-sama, mereka berusaha menyerlahkan potensi yang tersimpan dalam setiap buah kopi.
Lot dari Kampung Gulang merupakan antara hasil kopi Flores yang hadir dengan kerencaman rasa dan keistimewaan tersendiri. Apabila dibancuh sebagai kopi turas, Gulang memperlihatkan gabungan rasa buah plum dan anggur yang saling melengkapi. Kemanisan beri hitam pula semakin terserlah apabila dinikmati perlahan-lahan, lapis demi lapis. Apabila disajikan sebagai espresso, Gulang menampilkan sisi yang berbeza dengan kemanisan buah merah seakan kranberi dan anggur merah. Aroma serta rasa gula-gula getah mula terserlah seiring dengan setiap tegukan. Bersama susu, karakternya berubah menjadi lebih lembut dan manis, dengan bayangan rasa sarang madu, badam dan coklat. Kemasan buah merah yang berpanjangan meninggalkan rasa seakan gula-gula merah yang melengkapkan pengalaman menikmati kopi ini. Lot Gulang 244 membuka satu lagi sisi keistimewaan kopi Flores, sebuah cawan yang memperlihatkan betapa luasnya kemungkinan rasa dalam setiap hasil tuaian apabila diberi perhatian dan ruang untuk berkembang.